Kelebihan Anak Perempuan Dalam Islam

  Beruntungnya ibu bapa yang mempunyai anak perempuan. Walaupun menjaga anak perempuan adakalanya lebih mencabar, namun pahalanya juga lebih besar. Jom kita lihat kelebihan memiliki anak perempuan berbanding anak lelaki dalam Islam:

 

  1. Doa perempuan lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayangnya yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah S.A.W. akan hal tersebut, jawab Baginda s.a.w., "Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia".

  2. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah S.W.T. mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan

  3. Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah S.W.T. mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah s.w.t.

  4. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

  5. Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

  6. Apabila semalaman ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit,maka Allah S.W.T. memberinya pahala seperti memerdekakan 70 hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah S.W.T.

  7. Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah S.W.T. dan orang yang takutkan Allah S.W.T., akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

  8. Barangsiapa membawa hadiah, (barang makanan dari pasar ke rumah lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah). Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.

  9. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah S.W.T. memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).

  10. Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan,memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.

  11. Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1,000 lelaki yang soleh.

  12. Aisyah berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita? Jawab Rasulullah S.A.W., "Suaminya". "Siapa pula berhak terhadap lelaki?" Jawab Rasulullah S.A.W, "Ibunya".

  13. Apabila memanggil akan engkau dua orang ibubapamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.

  14. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya serta menjaga sembahyang dan puasanya.

  15. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

  16. Syurga itu di bawah tapak kaki ibu.

  17. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Nabi S.A.W) di dalam syurga.

  18. Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya syurga.

  19. Daripada Aisyah R.A. "Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuan lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka."

 

  Daripada kesemua kelebihan di atas dapatlah disimpulkan bahawa seorang perempuan ataupun wanita itu adalah makhluk Allah yang amatlah istimewa. Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa itu terletak di tangan mereka. Sebagai ibu-bapa kita wajib memberi sepenuh perhatian terhadap anak-anak perempuan lantaran disebabkan anak-anak perempuan merupakan aset penting yang menentukan samada ibu-bapa mereka layak memasuki syurga atau terhumban ke dalam neraka disebabkan mereka.

  Rasulullah S.A.W pernah bersabda di dalam hadith baginda yang bermaksud, "Takutlah kamu kepada Allah S.W.T dalam perkara-perkara yang berhubung dengan kaum wanita". Ini bermaksud bahawa setiap ibubapa dan yang bergelar suami hendaklah sentiasa mengawasi anak-anak perempuan mereka dan juga isteri-isteri mereka agar sentiasa berpegang teguh kepada agama dan mematuhi perintah Allah S.W.T.

  Tentu anda pernah mendengar pepatah melayu yang mengatakan, menjaga sekandang lembu adalah lebih senang dari menjaga seorang anak perempuan? Kemungkinan ini ada benarnya,apabila kita melihat ramai ibubapa yang menjaga anak mereka dengan hanya memberi tempat tinggal, makan dan minum semata-mata seperti menjaga dan memelihara binatang yang bertujuan hanya untuk menggemukkan sahaja. Sedangkan pendidikan agama tidak diberi penekanan yang sepatutnya. Contohnya dalam perkara berkaitan aurat dan pergaulan, hingga akhirnya ramai perempuan atau wanita yang menjadi bahan fitnah dan terdedah dengan pelbagai keburukan yang mencemarkan nama baik keluarga dan agama.

  Sesungguhnya anak-anak yang diajar dengan didikan agama yang baik akan memberi faedah kepada ibubapanya semasa hidup ataupun selepas mati bahkan secara logiknya tiada ibubapa yang inginkan anak-anak mereka menjadi beban dan membawa kecelakaan kepada mereka didunia apalagi di akhirat kelak.

  Alangkah beruntungnya ibubapa yang memiliki anak perempuan, lalu mereka mendidik dengan penuh kesabaran dan kasih sayang. Mendidik anak perempuan sememangnya mencabar, tetapi cabaran yang besar itu jika dilakukan dengan kesungguhan serta tabah menghadapi kerenah mereka, Allah Taala dan Rasul-Nya telah menjanjikan balasan yang amat besar.

  Begitu banyak kelebihan anak perempuan dalam Islam. SubhanAllah...

No comments :

Post a Comment


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...